Laluan hidupmu terlalu jauh untuk kau lalui..
Cikgu hanya berpesan, tiada ilmu kau akan kecundang di pertengahan jalan.
Di hadapanmu penuh liku untuk kau tempuhi
dan terokailah jalan itu berbekalkan ilmu
yang cikgu sampaikan.
Muridku..
Hari ini mungkin cikgu ada menyinggung perasaanmu
sehingga kau menyimpan perasaan kurang senang terhadap apa yang terjadi..
mungkin kau terkesan dengan kata - kata cikgu itu...tetapi...
andainya cikgu ada merotanmu..ingatlah, rotan itu bukan untuk menyakitimu..
andainya cikgu meninggikan suara, bukan niat untuk berbangga diri..
andainya cikgu tidak melayan karenahmu, bukan bermaksud benci padamu..
andainya cikgu menyuruh itu dan ini, bukan bermaksud menjadi diktator..
Muridku..
Cikgu kadang - kadang merotanmu, hanya untuk mendidik..
cikgu meninggikan suara, agar kau mengerti kehendak dan harapan cikgu..
cikgu tidak melayanmu, supaya kau bermuhasabah di mana kesilapanmu..
dan cikgu menyuruh lakukan itu dan ini, agar kau biasa bertindak menggunakan
akal warasmu..
Muridku..
Hari ini mungkin kau rasa terlalu sukar untuk menerima kenyataan..
belajar itu sebenarnya sesuatu yang menuntut pengorbananmu..
cikgu pasti kau terpaksa menempuh suka duka dalam menuntut ilmu..
telanlah rasa pahit getir itu ketika ini
agar kau rasai manisnya di kemudian hari..
Muridku..
Hari ini mungkin kau menangis kerana berjaya..
atau mungkin juga kau menangis kerana kegagalanmu..
tapi ingatlah..andainya kau berjaya cikgulah orang kedua selepas ibu bapamu
yang teramat gembira sekali pun cikgu tak dapat apa -apa daripadamu..
cikgu mampu mengukir senyuman andainya kau menjadi insan yang
berguna kepada agama, bangsa dan negara...
andainya kau menemui kegagalan, cikgu juga bersedih kerana..
tidak mampu menolong apa - apa lagi jika kau telah
meninggalkan alam persekolahan ini...
cikgu hanya mampu berdoa agar tuhan membuka pintu hati cikgu
dan hatimu agar mendapat hidayah yang tak ternilai harganya.
Muridku..
Kadang - kadang cikgu terkenang
akan hadiah yang pernah cikgu dapat suatu ketika dulu..
walaupun sekadar sebatang pen murah..
tetapi itulah hadiah paling bermakna bagi cikgu..
kau hadiahkan kepada cikgu penuh keikhlasan
lahir dari hatimu yang suci..
mengharapkan kasih sayang cikgu
dan pengorbanan cikgu dalam mendidikmu..
bersusah payah kau mengorek tabung
semata - mata untuk membeli cenderahati untuk cikgu
sempena tarikh keramat kita pada 16 Mei itu....
tapi semua itu hanya akan tinggal kenangan apabila
kau mula menjengah alam remaja..
dan kedewasaanmu mengajar erti kebebasan dunia
yang tiada batasnya..
gelak tawamu,
rintihan kesedihanmu,
keceriaanmu bersama cikgu..
hanya tinggal dalam lipatan sejarah yang
tak mungkin akan berulang lagi..
Muridku..
Masa silih berganti..
ada cikgu yang datang dan ada cikgu yang pergi
bumi yang pernah kau pijak ini,
lantai usang yang pernah kau hentak..
papan hijau yang pernah menjadi tatapanmu seharian..
dinding yang pernah menjadi tempat kau melepaskan amarah...
tetap setia bersama cikgu di sini..
setia hingga ke penghujungnya..
cikgu masih seperti dulu..
mengajar dan terus mengajar..
cuma muridnya sahaja bersilih ganti
dari satu generasi ke satu generasi lain..
Muridku..
cikgu nak hadiah daripadamu..
bukan wang ringgit yang cikgu harapkan..
bukan kereta mewah yang cikgu impikan..
bukan pingat kepujian yang ingin dibanggakan ..
dan bukan pujian serta penghargaan...
tetapi....
cikgu nak kejayaan daripadamu..
atau jika kau tak berjaya sekalipun..
cukuplah kau menjadi insan yang mengerti..
akan kasih sayang
akan kasih sayang
daripada tuhanmu..
ibu bapamu..
dan sesiapa sahaja yang pernah menjagamu..
serta yang terakhir....
orang yang paling rapat denganmu
ketika kau bertungkus -lumus mendapatkan ilmu
suatu ketika dulu..
itulah CIKGU...
( dedikasi untuk semua murid yang pernah bersamaku terutama Atiqah Azizul, Syahirah Sulaiman, Badrul Amin Adli, Fahmy Asyraf, Mohd Lokman, Mohd Akmal Khuzaimi, Fazrul Naim dan kelas 2 Cerdik 2012 SK Sultan Idris II, Felda Ijok )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan