Ahad, 16 Disember 2012

Beruk

Bagi sesetengah  pendidik atau cikgu, cerpen ni mungkin sudah menjadi sesuatu yang biasa kerana saya pasti, setiap kali kita menghadiri mana - mana taklimat atau kursus, adakalanya kita disajikan dengan cerpen ini. Bagi saya cerpen ni sangat unik dan amat berkait rapat dengan kita walaupun kita dah membacanya berulang kali. Sehingga kini saya masih menyimpan cerpen tersebut yang saya dapat sewaktu berkursus di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 2006 yang lalu. Tersentuh juga membacanya..sesiapa yang jumpa blog saya ini, bacalah dengan teliti.






OLEH : AZIZI  B. HJ ABDULLAH
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ( DBP )
1970





Beruk!

Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan masuk ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh murid-murid bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak ambil pusing hal itu.

Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati murid itu dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya.

Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang basah dengan air embun. “Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid yang datang lambat itu dengan bengis.

Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan menerima habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias akan menerima habuan. Begitu selalunya.

“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk ke tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Alias berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat.

Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.

“Mari dekat sini, Lias!” perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai menulis soalan. Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid yang bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya.

Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah empat dulu lagi. Alias tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluarnya yang lusuh itu.

“Kenapa kau datang lambat?” Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias tidak menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh atau aral yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.

“Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan hampir-hampir memekik.

Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya bukanlah sekali itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan “beruk” sebab dia membela seekor beruk.

“Pandang sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan pembaris panjang. Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau datang lambat?”

Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, “Beruk… beruk saya putus rantai, cikgu!”.

“Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.

“Saya cari, cikgu!”.

“Dah jumpa?”.

Alias angguk. Tersenyum.

“Sebab itu kau datang lambat?”

Angguk juga.

”Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun macam beruk”. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.

“Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias dengan jujur.

Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan hatinya. Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor semut.

“Kau nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya bersinar-sinar.

“Tidak cikgu, saya…”

“Sudahlah!” Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang. Tapi tidak mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah.

Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.

“Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!” Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain. Murid-muridnya diam membisu. Sekali-sekala mereka berpaling melihat Alias yang malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air yang bertakung.

Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas desus murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah berhenti. Dengan tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Dia terasa macam ada suatu dosa yang telah dilakukannya terhadap Alias.

Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah ponteng bukan sekali dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi apabila dia mendapat tahu bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya belajar semula hingga tamat. Dia menyesal.

Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah Alias yang terletak sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu guru besar. Biarlah hal itu dia selesai sendiri.

Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri kanan lorong itu banyak pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-lalang.

Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak datang selalu ke sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak datang ke sekolah. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidik lebih dulu. Akhirnya sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi sebatang titi melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.

Alias tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja. Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Sunan naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi berkali-kali pula orang tua itu menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan mengalah apabila orang tua itu memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak dapat turun.

Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya kesulitan Alias berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu.

“Alias ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.

“Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di hujung kampung”.

“Dia panjat pokok kelapa?”

“Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik lumpuh,” terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Alias. Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung jantan.

“Dah lama mak cik lumpuh?” tanyanya.

“Dah hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.

Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada Alias semakin tebal.

“Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.

“Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.

Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung itu tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu. Alias membimbit dua biji kelapa.

“Haa, itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang tua itu menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak terdaya. “Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapaknya meninggal,” kata orang tua itu dengan sedih.

Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika apabila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu ialah Cikgu Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar, segera dia melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya diletakkan ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan Cikgu Sunan. Dia senyum girang. Bersalam tangan.

Beruk yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh bunyinya, kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum pernah dilihatnya.

“Dia lama cikgu sampai ?” tanya Alias.

“Baru sekejap,” jawab Cikgu Sunan. 

Keramahan Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang ditinggalkan oleh Alias di halaman rumahnya itu melompat-melompat dengan suara garang. Alias menempik beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap melompat juga. Dia tidak kenal orang itu guru kepada tuannya.

Cikgu Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan bengkak nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.

“Dekat sini Alias,” kata Cikgu Sunan dengan lembut.

Alias mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya semasa sekolah. Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang menyayanginya. Dia mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Sunan.

“Senget sedikit kepala kau”. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias menyengetkan kepalanya. Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan menekannya sedikit untuk memastikan telinga Alias yang sakit itu. Tapi dengan tiba-tiba beruk yang sedang marah-marah dan melompat-lompat di halaman tadi, melompat naik lalu menggigit tangan Cikgu Sunan. Beruk itu menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.

Cikgu Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut. Suasana menjadi kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya beruk berlalu. Tapi tempiknya tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk itu terus menyerang Cikgu Sunan. Demi untuk menyelamatkan Cikgu Sunan, Alias mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa, lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma itulah saja yang boleh menyelamatkan gurunya.

Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai. Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, mata hitamnya memandang kepada Alias dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air jernih.

Alias terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan menahan darah di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar di lengannya tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak lembing tadi.

Suasana sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya bagai satu mimpi. Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu tafsiran yang asing.

Alias tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk kesayangannya. Dia bangun lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu tua itu tetap membisu. Dia tersedu-sedu.

“Terima kasih Alias.” Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata. Darah di lengannya masih juga keluar.

“Cikgu sakitkah?” tanya Alias antara sedu-sedannya.

“Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias.” kata Cikgu Sunan, lalu turun dari rumah itu.

“Cikgu…”

“saya minta maaf’,” kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga bawah.

“Tak apa…. tapi kau mau ke sekolah lagi?”

Alias duduk. Kaku. Sedih.

“Lebih baik kau ke sekolah, hingga darjah enam” Cikgu Sunan memberi nasihat.

“Saya tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu.” Tiba-tiba Alias menjawab sayu.

“Kenapa?”

“Beruk… Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.”

Dada Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias benar-benar menusuk hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada Alias merupakan tali perhubungan nyawanya selama ini. 

Dia melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku di ambang pintu lebih pilu lagi.

Rabu, 12 Disember 2012

Seindah budi..





















dengan kekerasan
mana bisa kau mencorakkan
sehelai sutera
menjadi sehalus batik indah
pasti hancurlah ia
sebelum kau sempat melukiskannya

dan apatah lagi 
untuk melilin sang sutera
begitu jua hati insan yang disayangi
dapatkah kita takluki
jika hati sedingin salji

belailah ia sekadarnya
agar tidak terlalu manja
dan sama - sama
kita jaga
karana sebatang lilin
kan bisa terbakar istana

yang keras kita ukirkan
yang lembut kita bentukkan
yang buruk kita warnakan
hingga jadi
rupa dan hati
seindah budi....

Buat muridku






Muridku..
Laluan hidupmu terlalu jauh untuk kau lalui..
Cikgu hanya berpesan, tiada ilmu kau akan kecundang di pertengahan jalan. 
Di hadapanmu penuh liku untuk kau tempuhi 
dan terokailah jalan itu berbekalkan ilmu 
yang cikgu sampaikan. 

Muridku..
Hari ini mungkin cikgu ada menyinggung perasaanmu 
sehingga kau menyimpan perasaan kurang senang terhadap apa yang terjadi..
mungkin kau terkesan dengan kata - kata cikgu itu...tetapi...
andainya cikgu ada merotanmu..ingatlah, rotan itu bukan untuk menyakitimu..
andainya cikgu meninggikan suara, bukan niat untuk berbangga diri..
andainya cikgu tidak melayan karenahmu, bukan bermaksud benci padamu..
andainya cikgu menyuruh itu dan ini, bukan bermaksud menjadi diktator..

Muridku..
Cikgu kadang - kadang merotanmu, hanya untuk mendidik..
cikgu meninggikan suara, agar kau mengerti kehendak dan harapan cikgu..
cikgu tidak melayanmu, supaya kau bermuhasabah di mana kesilapanmu..
dan cikgu menyuruh lakukan itu dan ini, agar kau biasa bertindak menggunakan 
akal warasmu..

Muridku..
Hari ini mungkin kau rasa terlalu sukar untuk menerima kenyataan..
belajar itu sebenarnya sesuatu yang menuntut pengorbananmu..
cikgu pasti kau terpaksa menempuh suka duka dalam menuntut ilmu..
telanlah rasa pahit getir itu ketika ini
agar kau rasai manisnya di kemudian hari..

Muridku..
Hari ini mungkin kau menangis kerana berjaya..
atau mungkin juga kau menangis kerana kegagalanmu..
tapi ingatlah..andainya kau berjaya cikgulah orang kedua selepas ibu bapamu
yang teramat gembira sekali pun cikgu tak dapat apa -apa daripadamu..
cikgu mampu mengukir senyuman andainya kau menjadi insan yang
berguna kepada agama, bangsa dan negara...
andainya kau menemui kegagalan, cikgu juga bersedih kerana..
tidak mampu menolong apa - apa lagi jika kau telah
meninggalkan alam persekolahan ini...
cikgu hanya mampu berdoa agar tuhan membuka pintu hati cikgu
dan hatimu agar mendapat hidayah yang tak ternilai harganya.

Muridku..
Kadang - kadang cikgu terkenang
akan hadiah yang pernah cikgu dapat suatu ketika dulu..
walaupun sekadar sebatang pen murah..
tetapi itulah hadiah paling bermakna bagi cikgu..
kau hadiahkan kepada cikgu penuh keikhlasan
lahir dari hatimu yang suci..
mengharapkan kasih sayang cikgu
dan pengorbanan cikgu dalam mendidikmu..
bersusah payah kau mengorek tabung
semata - mata untuk membeli cenderahati untuk cikgu
sempena tarikh keramat kita pada 16 Mei itu....
tapi semua itu hanya akan tinggal kenangan apabila
kau mula menjengah alam remaja..
dan kedewasaanmu mengajar erti kebebasan dunia 
yang tiada batasnya..
gelak tawamu, 
rintihan kesedihanmu, 
keceriaanmu bersama cikgu..
hanya tinggal dalam lipatan sejarah yang 
tak mungkin akan berulang lagi..

Muridku..
Masa silih berganti..
ada cikgu yang datang dan ada cikgu yang pergi
bumi yang pernah kau pijak ini,
lantai usang yang pernah kau hentak..
papan hijau yang pernah menjadi tatapanmu seharian..
dinding yang pernah menjadi tempat kau melepaskan amarah...
tetap setia bersama cikgu di sini..
setia hingga ke penghujungnya..
cikgu masih seperti dulu..
mengajar dan terus mengajar..
cuma muridnya sahaja bersilih ganti
dari satu  generasi ke satu generasi lain..

Muridku..
cikgu nak hadiah daripadamu..
bukan wang ringgit yang cikgu harapkan..
bukan kereta mewah yang cikgu impikan..
bukan pingat kepujian yang ingin dibanggakan ..
dan bukan pujian serta penghargaan...
tetapi....
cikgu nak kejayaan daripadamu..
atau jika kau tak berjaya sekalipun..
cukuplah kau menjadi insan yang mengerti..
akan kasih sayang
daripada tuhanmu..
ibu bapamu..
dan sesiapa sahaja yang pernah menjagamu..
serta yang terakhir....
orang yang paling rapat denganmu
ketika kau bertungkus -lumus mendapatkan ilmu
suatu ketika dulu..
itulah CIKGU...

( dedikasi untuk semua murid yang pernah bersamaku terutama Atiqah Azizul, Syahirah Sulaiman, Badrul Amin Adli, Fahmy Asyraf, Mohd Lokman, Mohd Akmal Khuzaimi, Fazrul Naim dan kelas 2 Cerdik 2012  SK Sultan Idris II, Felda Ijok )







Sabtu, 8 Disember 2012

Aktiviti cuti akhir tahun 2012 SK Sultan Idris II, Felda Ijok.

Cuti akhir tahun 2012 tidak dibazirkan begitu sahaja oleh murid - murid SK Sultan Idris II, Felda Ijok. Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang tempoh cuti tersebut. Tujuan aktiviti ini dilaksanakan bertujuan mengisi masa lapang murid - murid agar mereka tidak melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Antara aktiviti yang dirancang seperti latihan sukan, kelas tambahan dan gotong- royong.






Murid - murid tahun dua tekun melaksanakan latihan yang
diberikan oleh guru mereka.

SK Sultan Idris II lebih memfokuskan kelas tambahan murid - murid tahun 2 dan tahun 5 yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) pada tahun hadapan. Persediaan awal mula dilaksanakan agar pencapaian UPSR tahun 2013 lebih baik daripada tahun ini. Guru - guru SK Sultan Idris II meletakkan harapan yang tinggi pada murid - murid tahun 5 lebih - lebih lagi murid - murid dari kelas 5 CERDIK. Ini kerana terdapat beberapa orang murid yang dikenalpasti berpotensi untuk meraih 5A dalam UPSR nanti.




Murid - murid tahun 5 sedang mengikuti kelas
tambahan yang diadakan bermula awal bulan Disember 2012

Guru - guru di SK Sultan Idris II ini tidak terlalu memberi tekanan kepada murid - murid. Mereka juga diberi peluang dan kesempatan untuk menunjukkan kebolehan masing- masing dalam bersukan. Pada cuti persekolahan ini, pelbagai latihan sukan dijalankan. Antara sukan tersebut ialah :

a) bola jaring
b) bola tampar
c) bola sepak
d) boling padang ( pendidikan khas ) dan
e) hoki.



Murid - murid menjalani aktiviti latihan sukan 

Latihan ini dikendalikan olegh guru - guru yang telah dilantik menjadi jurulatih sekolah. Murid - murid yang berbakat akan ditapis dan akan menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi musim sukan tahun 2013 nanti.

Khamis, 6 Disember 2012

Standard Prestasi KSSR


Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) telah merangka kurikulum baru untuk sekolah menengah dan  sekolah rendah bermula dari tahun 2011. Bagi sekolah rendah kurikulum ini dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ). Kurikulum ini lebih terarah kepada penilaian daripada pihak sekolah itu sendiri melalui garis panduan yang telah ditetapkan. Kini KSSR telah dilaksanakan selama 2 tahun dan menjelang 2013, murid - murid generasi pertama KSSR akan berada di tahun 3. Melalui KSSR ini guru memberi penilaian prestasi murid - murid melalui band- band yang di tetapkan. Band - band itu seperti dinyatakan di bawash ini :



Pada akhir tahun, guru - guru kelas akan memberi standard prestasi tersebut kepada murid - murid berdasarkan peperiksaan PKSR II. Band terbaik adalah band 6 atau standard 6. Pada mulanya pelaksanaan KSSR ini terdapat sedikit kesulitan, tetapi KPM telah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan perkara tersebut bagi meringankan beban guru - guru.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Di bawah ini dinyatakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya menjadi panduan kepada guru - guru di Malaysia.Insyaallah.


Sabtu, 24 November 2012

Sekitar Merdeka 2012

Pada tahun ini genaplah 55 tahun negara kita merdeka. Sempena kemerdekaan tersebut, SK Sultan Idris II telah mengadakan sambutan hari kemerdekaan peringkat sekolah pada 30 Ogos 2012 iaitu pada hari Jumaat. Aktiviti ini dirasmikan oleh guru besar SK Sultan Idris II sendiri iaitu En. Othman b. Yahaya. Program dimulakan dengan membaca perutusan terlebih dahulu yang disampaikan oleh guru penolong Kanan  
Pentadbiran iaitu En. Sudirman b. Abdul Ghani.


Selepas perutusan tersebut, guru - guru bersama murid - murid telah menyanyikan tiga buah lagu wajib iaitu Negaraku, Negeri Perak dan Lagu Sekolah. Selepas nyanyian itu, semua murid dikehendaki mengibarkan bendera Malaysia sambil diperdengarkan lagu Jalur Gemilang.


Acara seterusnya ialah aktiviti senamrobik untuk guru - guru dan murid- murid tahap 1 dan tahap 2 termasuklah murid kelas pendidikan khas dan prasekolah. Acara ini dikendalikan oleh En. Shahrul Azwan b. Amir Hamzah, salah seorang guru Pendidikan Jasmani serta dibantu oleh dua orang guru ROS ( rancangan orientasi sekolah ). Murid - murid amat tertarik dengan acara yang dijalankan  ini .



Tepat pukul 10.10 pagi, semua murid dibenarkan ke kantin untuk menikmati juadah yang disediakan. Selepas mereka makan dan berehat, murid - murid dikehendaki masuk ke kelas masing - masing. Bagi murid - murid tahap satu mereka dikehendaki mewarna lukisan barkaitan hari kemerdekaan manakala murid - murid tahap 2 pula dikehendaki melukis satu poster berkaitan hari kemerdekaan juga.


Aktiviti tersebut dapat menarik minat murid - murid SK Sultan Idris II ini. Pada hari itu mereka sangat gembira dengan aktiviti yang dijalankan. Masing - masing menunjukkan kebolehan masing - masing dalam mewarna dan melukis poster tersebut lebih - lebih lagi murid - murid tahap 1.


Guru - guru pula memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada murid - murid bagaimana mewarna dan melukis poster dengan baik. Di samping itu juga guru - guru tetap menjaga disiplin murid sepanjang aktiviti dujalankan. Ini bagi mengelakkan berlaku sesuatu diluar jangkaan seperti murid tercedera akibat gurauan melampau di kalangan mereka sepanjang aktiviti itu.


Aktiviti sambutan kemerdekaan ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim di antara murid - murid dan guru - guru SK Sultan Idris II. Pihak pentadbir sekolah juga sentiasa menggalakkan serta berusaha membina hubungan yang erat di antara guru - guru dan murid - murid serta penjaga mereka.



Khamis, 22 November 2012

Contoh Rancangan Pengajaran Harian Tayammum Satu Pengajaran Makro


RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN
   
Tarikh /  hari    : Rabu ( 24.10.2012 )                                      Masa               : 7.40 – 8.10 pagi

Kelas               : 5 Bijak                                                             Bil.Pelajar       : 20 orang

M/ Pel              : Pendidikan Islam

Tajuk               : Tayammum

Objektif           : 1) Mengetahui maksud Tayammum
                          2) Menyatakan rukun Tayammum
                          3) Melaksanakan amali Tayammum

Pengetahuan sedia ada          : Murid pernah mendengar atau menyaksikan ibu bapa atau
                                                     sesiapa sahaja menyapu debu pada muka dan tangan.

Konsep                                      : Ibadat

Bahan   bantu                            : Buku teks, carta, lembaran kerja, gambar, tepung dan talam /         
                                                      bekas dan papan hitam.
                                 
Nilai                                            : Kerjasama ,

Kemahiran                                 : Mendengar, bertutur, mengingat, memerhati


Langkah Masa

Isi Pelajaran
Aktiviti Pengajaran Pembelajaran
Catatan
Aktiviti guru
Aktiviti murid

1

Permulaan
( 1 minit )

Guru memberi salam

Murid menjawab salam guru


Murid berdiri

2

Set induksi
( 3 minit )


Guru menunjukkan
gambar salah Satu anggota wudhu


Murid menjawab
soalan guru

-Interaksi 2 hala
-gambar

3



Langkah 1
Maksud
Tayammum
( 5 minit )

Guru menerangkan
maksud tayammum

-Murid mendengar
 penerangan guru
-Murid membaca
 pengertian /
 maksud
-Guru meminta
 beberapa orang
 murid menyusun
 perkataan bagi
 melengkapkan
 maksud
 tayammum


-Penggunaan
 carta
-Kad imbas



4

Langkah 2
Rukun – rukun
Tayammum
( 7 minit )

-Guru menunjukkan
 carta mengenai
 rukun – rukun
 tayammum
-Guru membimbing
 murid membaca


-Murid membaca
 rukun – rukun
 tayammum
-Murid cuba
 menghafaz
-Murid menjawab    
 soalan yang
 diberikan


-Lembaran
  kerja


5

Langkah
Amali melaksanakan
Tayammum
( 10 minit )

-Guru menerang-
  kan cara untuk  
  melaksanakan
  tayammum  demi 
  langkah                 
-Guru meminta
  Murid cuba
  melaksanakan
  tayammum

-Murid mendengar
 penerangan guru
 dengan teliti
-Murid melaksana-
 kan arahan guru

-Simulasi
  tayammum


6


Penutup
( 4 minit )

-Kognitif
 Isi pelajaran

-Sosial
 Menggalakkan
 murid untuk terus
 istiqamah dalam
 menunaikan solat
 walaupun tiada
 air atau sedang
 sakit





Guru bersoal jawab


Menasihati murid




Murid menjawab


Mendengar
nasihat



Refleksi :
Secara keseluruhannya pelajaran pada hari ini dapat dikuasai oleh sebahagian murid tetapi masih belum menguasai sepenuhnya cara melaksanakan tayammum.